Wednesday, December 27, 2006

Muqayam Akhawat Perlis

Alhamdulillah... saya rasa terlalu bersyukur kerana dipilih Allah menjadi peserta muqayam ini. di anjurkan oleh Wanita Jim Perlis pada 23-25 Disember. Tarikh itu merupakan tarikh yang amat mencabar untuk menghadiri mana-mana program. Sebabnya tarikh tu hari cuti umum, dengan kenduri kendaranya,walimah sahabat pulak tu. Kena Kuatkan diri untuk tetap teguh menghadiri muqayam tersebut. Bukannya dekat2 sini, tapi nun di Bukit Wang, Kedah. jauh dalam hutan nuu :).
Saya tak tahu pun aturcaranya, cuma dapat arahan dengan diberikan tarikh dan tempat aje. memang zero. saya membayangkan dalam hati mungkin kena masuk hutan atau tinggal di tempat usang yang serba kekurangan (air terutamanya) atau ke tempat yang biasa- biasa saja (kurang kemudahan seperti di rumah). Rupanya Muqayam ini dihadiri oleh sahabat dari Kedah dan Pulau Pinang juga.

Setibanya sampai... seronok menatap banglo yang akan kami diami.oo.. tinggal di banglo 3 tingkat rupanya kami ni. Jangan terkejut, dalam hutan sebegitu ada banglo woo. Pemiliknya Tuan Hj Sufi, saya kira seorang alim yang punyai perniagaan yang agak besar. Punyai travel n tour company. Agak berada orangnya.

Setibanya di sana, setelah selesai pendaftaran, barulah saya dapat lihat aturcaranya.Tema muqayam kalini "Menuju Jalan Pulang". dan slot2 semuanya berkaitan dengan MATI.
Ceramah pertama memang menyentuh hati dan sanubari saya. Disampaikan oleh ust Imran (UIA).Menceritakan tentang fasa kehidupan manusia serta pengertian al maut dari al qur'an dan hadith. Slot ini banyak menceritakan tentang bagaimana orang beriman menghadapi sakaratulmaut dan bagaimana pula orang tidak beriman menghadapi sakaratulmaut. banyak memberi info kepada saya. paling menarik perhatian saya apabila ust Imran memberitahu bahawa orang yang beriman jika mati secara mengejut (bukan kerana menderita sakit) adalah satu rahmat dari Allah untuk dirinya. Teringat pula arwah ayah saya yang meninggal dalam keadaan kami semua terkejut. Tak pernah sakit apa sebelumni, tiba-tiba meninggal. Moga Allah memberi rahmat buat ayah saya.
Slot seterusnya diwaktu tengahari menceritakan berkenaan misteri sakaratulmaut serta bekalan menghadapi kematian. Memang slot ini membuatkan saya rasa kecut perut dek kerana teringatkan amalan saya yang tunggang langgang lagi ni. Belum istiqamah dalam banyak benda. kejap buat, kejap tak buat (amalan sunat). Saya dapat membayangkan bila-bila saja saya akan pergi menemui Ilahi. Sekarang pun boleh. Ust Imran juga menceritakan betapa sakitnya mati, satu penderitaan yang dialami oleh ruh sewaktu meninggalkan jasad. Kita semua tidak tahu bagaimana pengakhiran kita. Moga kita kembali kepada Allah sebagai seorang yang beriman dan diraikan ruh kita apabila diangkat ke langit. Buku yang dicadangkan adalah Ensiklopedia Kematian (saya lupa penulisnya)

Slot malam disampaikan oleh Dr Azizah yang merupakan isteri Ust Imran, yang menceritakan tentang Al- Maut Fisabilillah Asma Amanina. Mengenai rindunya para pejuang untuk menjadi syuhada'. Kisah para ikhwan yang berlumba-lumba untuk syahid.Kisah di Ihkwan di Indonesia yang hebat dengan amalannya. Kisah ikhwan palestine yang berlumba-lumba mendaftar nama sebagai pejuang berani mati. Kisah para sahabat yang merindui mati sewaktu perang di zaman Rasulullah. Buku yang dicadangkan adalah Manajemen Kematian karangan Khozin Abu Faqih dan ensiklopedia peperangan Rasulullah karangan Syaikh Mahmud Shahir. Saya sudah memiliki, tapi saya belum membacanya lagi.
Keesokan harinya kami dihujani ujian di dalam game treasure hunt, saya kira game ini meningkatkan semangat ukhuwwah dalam diri pada sahabat-sahabat muqayyam saya. Selepas permainan ini, saya rasa semakin kasih akan sahabat-sahabat saya ini :)
Pada sebelah tengaharinya slot Dr Azizah juga yang merupakan rentetan slot malam tadi mengenai kerinduan para syahadah di kalangan sahabat. Sungguh kagum pabila mendengar betapa hebatnya para sahabat dalam berlumba- lumba untuk syahid. Saya rasa terlalu jauh dibandingkan dengan saya. saya berazam untuk terus berusaha sebaik mungkin.
sessi muhasabah paling menyayat hati. Saya merasa kagum pada kehebatan sahabat-sahabat muqayam saya.Timbul rasa keazaman di hati saya untuk mempertingkatkan lagi amalan apabila pulang ke rumah nanti.
Alhamdulillah, saya dapat kawan baru (akhawat Kedah n Pulau Pinang) yang sebelum ini kenal nama aje.Dr Salmi, K Shopiah, Ustzh Normah,Dr hashimah,K lela dan ramai lagi. Terima kasih buat mck-mck Perlis selaku urusetia yang bertungkus lumus menjayakan prog muqayam yang serba membina ini. Moga Allah merahmati segala usaha kalian.

Thursday, December 21, 2006

JIM menolong mangsa Banjir di Johor




Pertamanya, terima kasih di atas bantuan dan sumbangan ikhwah dan akhawat bagi membantu usaha-usaha membantu mangsa banjir semalam, Khamis 21 Disember 2006. AlhamduliLlah Pusat Pengumpulan Sumbangan Untuk Mangsa Banjir di Pejabat JIM telah dibuka 9:00 pagi ke 9:00 malam semalam dan banyak kerja telah dapat dilaksanakan oleh sukarelawan JIM di beberapa tempat di JB, terutamanya di dua kawasan tumpuan kita iaitu di sekitar Skudai dan di Kg Maju Jaya.
Di sebelah pagi kita telah menghantar bahan makanan mentah iaitu 35 ekor ayam, 20 papan telur dan sayur-sayuran ke Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Pu Tze di Batu 10, Skudai, bagi makan tengah hari mangsa yang masih mengungsi di sana. Kami dimaklumkan masih ada beratus-ratus lagi mungkin seribu, pengungsi yang masih di sana semalam kerana rumah mereka masih tenggelam lagi.
Kami mendapat tahu bahawa sebenarnya usaha penyediaan Pusat tersebut dipelopori oleh Persatuan Buddhist Tzu Chi, walaupun boleh dikatakan 90% pengungsi ialah umat Islam. Saya merasa cukup malu dengan keadaan tersebut, tetapi apakan daya. Di depan sanalah usaha mereka yang patut kita hormati dan contohi, dan jauh di belakang sinilah umat Islam. Selain daripada Bulan Sabit Merah dan Mercy yang membantu di sana bersama kita, saya tak tahu sama ada ada lagi NGO, terutamanya dari kalangan umat Islam yang bergerak.
Di situ kami dimaklumkan bahawa terdapat sebuah lagi pusat mangsa banjir berdekatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, berhampiran Balai Polis Skudai, lalu kami ke sana pula setelah selesai urusan di Pu Tze. Di tempat kedua ini terdapat dalam 200 orang pengungsi yang berasal dari Kg Sepakat yang berhampiran dengan Loji Air PUB Singapura. Kami berbual dengan beberapa orang mangsa dan menanyakan keperluan mereka. Di sini makan tidaklah masalah sangat tetapi mereka menyatakan mereka perlukan pakaian dan juga perkhidmatan perubatan kerana ada anak yang demam.
Kira-kira jam 11:30 pagi kami mengambil makanan panas tengah hari yang telah dipesan sebanyak 100 bungkus nasi dari kantin Unit Harta Bina di UTM. Asalnya kami bercadang untuk membawa kepada mereka yang menunggu berhampiran rumah yang ditenggelami air (daripada tinjauan hari sebelum itu) di Kg Sepakat di dekat PUB. Namun apabila kami sampai di sana air sudah surut dan orang kampung tidak lagi berkhemah di tepi jalan malah sudah masuk membersihkan rumah mereka. Apapun kami terus edarkan juga bungkusan nasi dan air minuman kepada mereka, kerana pastinya mereka tidak mempunyai kemudahan untuk memasak lagi, dan penduduk kampungpun memang gembira adanya bantuan sedikit itu. Di situ kami juga berjumpa dengan En Yazid yang bekerja di SMIH. Walau bagaimanapun kami hanya dapat mengedarkan kepada separuh kampung yang menjajar panjang itu sahaja kerana ramai yang telah pulang.
Setelah itu kami pulang ke Pejabat JIM. Ustaz Hairozi menjaga di sana di sebalah pagi, dan kemudian akh PM Hamidon, akh Sazali dan akh Zainal Abidin Sidi datang bagi sesi petang, di samping anak-anak remaja yang membantu. Beberapa ikhwah turut menghantar lagi pakaian dan barang makanan kering ke sana. Kami sembahyang, makan dan kemudian pada pukul 2:15 petang membuat mesyuarat penyelarasan. Beberapa ikhwah/akhawat juga ada pergi membeli belah barangan keperluan untuk diedarkan, seperti keperluan wanita, bayi, ubat-ubatan, berus dan ubat gigi dsb. Sementara itu kami terima juga laporan kerja-kerja ikhwah-akhawat di Kg Maju Jaya (ada diedarkan sebelum ini, yang seperti yang ditulis oleh Kak Hassenah).
Kerja seterusnya disambung selepas Asar, bermula dengan membawa pakaian dan keperluan peribadi lainnya ke Kg Sepakat dengan dua kenderaan, termasuk van akh PM Hamidon. Kali ini akh Zainal Abidin Sidi, yang menjadi person-in-charge usaha ini, juga turut serta. Tadinya semasa kami menghantar makanan ada ibu yang memberitahu beliau sangat memerlukan barangan untuk bayinya, jadi kami tuju ke rumahnya dahulu kali ini. Dia sendiri tiada petang itu kerana keluar untuk suatu urusan, lalu kami tinggalkan barangan yang diperlukan kepada anaknya. Kemudian kami edarkan pakaian kepada penduduk lain juga.
Dari Kg Sepakat kami pergi pula ke Pusat Penempatan Sementara di Sekoleh Kebangsaan Batu 10, Sekudai. Rupa-rupanya di sana Persatuan Tsu Chi sedang mengedarkan bungkusan makan dan keperluan lain kepada semua mangsa banjir. Memang cukup hebat... berkotak-kotak barang, di samping begitu ramai petugas siap dengan uniform mereka dan juga bendera mereka. Kami edarkan pakaian kepada penghuni pusat yang memang cukup berharapkannya, malah tidak mencukupi. Dr Murni juga ada melihat kanak-kanak yang demam dan memberikan ubat-ubatan. Kemudiannya Dr Hishamuddin Alham juga datang untuk bersama, dengan keluarganya, seperti biasa.
Kami sempat berbual dengan Ketua Tzu Chi di situ yang menanyakan kita dari kumpulan mana (apabila melihat Dr Hisham mengambil gambar mereka). Beliau memberitahu kami mengenai Persatuan mereka yang ditubuhkan oleh seorang biarawati (nun) di Taiwan. Menurutnya dana yang dikutip oleh mereka untuk kerja relief, 100% untuk tujuan itu dan tak dibenarkan oleh ketua mereka tersebut untuk digunakan oleh persatuan. Mereka sudah berbelas tahun di Malaysia, dan menurutnya di Turki, Presiden cawangannya di sana ialah seorang Cina Muslim. Selain dari mengagihkan bantuan makanan dan tikar dsb kepada mangsa, terdapat juga petugas mereka yang menemu-ramah mangsa (dan divideokan).
Melihat mereka, seperti yang saya sebutkan tadi, memang saya hormati mereka. Apatah lagi saya tahu kerja mereka di Aceh semasa tsunami dulu, antara yang terdahulu sampai dan terus buat kerja. Cuma di dalam hati saya, di manakah umat Islam? Di manakah "penggerak" dan "pejuang" umat Islam? Terutamanya yang selalu kita dengar terlalu banyak rhetorik dsb dan cukup senang menuding jari mencari salah orang lain? Juga, saya tanya, di manakah "kita"?
Kami pulang sejurus sebelum Maghrib.
Insya ALlah hari ini (Jumaat) usaha-usaha ini akan diterskan. Ikhwah dan akhawat yang hendak membantu silalah tampil bersama. Juga, Pejabat JIM akan dibuka lagi hari ini 9:00 pagi ke 9:00 malam untuk menerima apa jua sumbangan semua. Di samping itu juga, kami ucapkan ribuan terima kasih di atas semua sumbangan dari seluruh negara yang mencurah-curah datang, alhamduliLlah.
Wassalam.
Ainullotfi dan rakan-rakan lain yang menDERU. :-)

Monday, December 18, 2006

Malam Paksi JIM





Majlis Makan Malam ini dianjurkan adalah bersempenapelancaran Pusat Sokongan Wanita dan KeluargaIslah(PAKSI-JIM). Ia bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membiayai pengoperasian Pusat ini yang akan berjalan sepenuhnya mulai Januari 2007.

Pusat Sokongan Wanita danKeluarga Islah(PAKSI-JIM) ditubuhkan dengan matlamat-matlamat berikut:
  • Menterjemahkan moto JIM, Bersama Islam MembinaMasyarakat ke dalam bentuk amali secara sistematik danberterusan.
  • Berkongsi ilmu dan kepakaran oleh tokoh-tokoh JIM,khususnya wanita dengan ahli masyarakat di dalam hal-hal berkaitan dengan remaja, wanita dan keluarga.
  • Menunaikan tanggungjawab menyantuni insan melaluikhidmat nasihat serta runding cara yang berlandaskanIslam
Unit-unit di bawah PAKSI-JIM ialah:
  1. Unit Khidmat Wanita & Remaja
  2. Unit Khidmat Nasihat Undang-undang Keluarga
  3. Unit Khidmat Sokongan Pesakit Barah
  4. Unit Santunan Wanita (reach-out-programmes)
Dari Dr Hishamudin AlHam

Assalamualaikum wrt

Ana tak pernah hadir dalam satu majlis persembahan
yang begitu menarik dan menyentuh hati. Gandingan
suara Mu’az dan kepetahan kumpulan remaja dari UIA
benar-benar menghiburkan dan mencuit hati para hadirin
yang menghadiri program pelancaran PAKSI-JIM baru-baru
ini.

Saksikanlah salah satu persembahan Mu’az dengan
lagunya yang bertajuk “You raised me up”. Hayatilah
senikatanya yang memberi gambaran kita adalah generasi
yang bertanggung jawab membina keperibadian mereka
sehingga mereka mampu berhadapan dengan cabaran yang
mendatang.

http://www.youtube.com/watch?v=n7KnofnfFA0

Kini persembahan tersebut telah ana kumpulkan dalam
satu CD dan sempena suasana banjir di Skudai, ana
ingin memasarkannya dengan harga minima RM20 bagi
membantu mangsa banjir di Skudai khususnya dan Johor
umumya. Sesiapa yang berminat boleh email kepada ana
secara peribadi atau hubungi ana di talian:
019-727-3945. Saksikan juga lawatan kami ke salah satu
pusatnya di Batu 10, Skudai.

http://www.youtube.com/watch?v=8H4hxDqTKNc

Ana sengaja membawa seisi keluarga (minus one) ke
penempatan sementara ini agar keluarga ana dapat
menjiwai penderitaan mereka. Mereka begitu gembira
menerima sedikit sumbangan yang datang dari JIM.

Tetapi kami kalah dengan persatuan Buddha yang telah
datang dengan barangan hampir 2 lori (mungkin lebih).
Ana difahamkan persatuan ini memang telah lama
“established” Namun demikian, ana dapat bayangkan
kalaulah DERU nanti wujud, JIM akan terserlah sebagai
satu badan yang disegani Insya Allah.

Wassalam

Dr Hishamuddin Alham

p.s. anda ingin "download" movie yang anda lihat.
Sila lihat tatacaranya di:
http://ahisham2001.multiply.com/

MALAM PAKSI JIM




Tuesday, December 12, 2006

Perutusan WJIM Perlis


TAMRIN & MUQAYYAM 06 (prog aulad)
Alhamdulillah Wanita JIM Perlis baru sahaja selesai menganjurkan Program Tamrin & Mukhayyam 2006 (TAMU 06’) bagi anak-anak berumur antara 9-12 tahun pada 8-10 Disember. TAMU merupakan program tahunan dan kemuncak kepada aktiviti aulad dan banat di Perlis yang di adakan setiap tahun. TAMU 06’ kali ini m
embawa tema ‘Kami Mujahid Kecil’ dan disertai oleh 64 orang peserta.yang mana 51 orang dari jumlah peserta adalah anak-anak dari luar Perlis (Perak. P.Pinang dan Kedah). Kira-kira 40 orang anak-anak yang tiba dengan keretapi di bawa ke lokasi iaitu Masjid Al-Ehsan, Beseri menaiki bas JIM negeri Perlis.

Diantara aktiviti yang sangat diminati oleh anak-anak ialah ‘Khazinatul asrar race’ dan ‘Water survival skill’ Aktiviti Khazinatul Asrar Race menguji ketangkasan fizikal dan mental anak-anak mujahid kecil yang terpaksa menyelesaikan tugasan sambil menjelajah sekeliling kampung disekitar lokasi program manakala water survival di jalankan di Sungai Jerneh kira-kira 20 KM dari lokasi program. Sepanjang program anak-anak peserta sentiasa di minta melaungkan lagu ikrar dengan penuh semangat yang mana diantara rangkap lirik lagu ikrar tersebut ;

Kamilah anak pewaris dakwah

Kamilah anak soleh-solehah

Kamilah PENEGAK KALIMAH ALLAH

Doakan, insyaAllah

Semoga ikrar mereka ini benar-benar menjadi kenyataan.

Pihak Wanita JIM Perlis mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada Pengarah TAMU 06’ Pn. Mazailah dan barisan AJK beliau serta para fasilitator dari Jaiputra dan IPTIPs yang bekerja keras menjayakan program TAMU kali ini.

REMAJA PERLIS KE X-PERT

Wanita JIM Perlis juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada 3 orang puteri-puteri kami Nur Raihana, Syifa’ dan Wan Balqis ( 16 tahun) serta pengiring Wan Aminah kerana kesungguhan mereka mewakili negeri Perlis ke program X-PERT (yang dengarnya amat-amat mencabar) di negeri Johor pada 7-10 Disember. Cabaran puteri-puteri ini bermula dengan perjalanan yang begitu jauh menaiki bas dari Perlis ke Johor. Arah pulang pula dua orang peserta puteri ini terpaksa pulang sendiri dengan bertukar-tukar pengangkutan; dari kereta (pak cik JIM) dari Johor ke KL kemudian menaiki LRT kemudian naik commuter jam 11 malam dan alhamdulillah selamat sampai ditangan TYDP JIM Ulu Selangor jam 12 malam ( 2 orang puteri ini akan mengikuti lawatan rombongan sekolah mereka ke Dar’ul Qur’an).

Semoga kepayahan yang mereka lalui semasa perjalanan dan juga program X-PERT itu menjadi bekalan tarbiyyah buat mereka dan menjadi asset buat negeri Perlis yang kecil ini. Diberitakan bahawa team PERTAN ( Perlis-Kelantan) ini yang kesemuanya remaja puteri dianugerahkan tempat kedua iaitu selepas team dari KL (campuran). Syabas!!

HEBAHAN !! PROG WJIM PERLIS TERDEKAT

MUQAYYAM AKAHWAT PERLIS (MAPs)

Wednesday, November 29, 2006

Seminar Menangani Isu-Isu Wanita dalam Islam (SMIWI) Negeri Perlis

Alhamdulillah, Wanita JIM Perlis telah menjayakan Seminar Menangani Isu-Isu Wanita dalam Islam (SMIWI) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri perlis pada 21 November 2006 bertempat di Dewan Seminar Kompleks Budaya. Tema seminar ini ialah, "Wanita: Teori dan Realiti".
Terima kasih buat Dr Hafidzah Mustakim selaku Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat yang telah memberikan sebuah ucaptama yang mantap membuatkan para peserta sanggup menunggu sehingga tamat program. Terima kasih juga buat Dr Najibah selaku pembentang kertas kerja yang begitu padat dan penuh informasi yang membuatkan beliau dihujani pelbagai soalan berkaitan hak-hak wanita, keadilan Islam berkaitan perceraian dan talak, dan perwarisan wanita.
Di akhir program, kami mendapat maklumbalas yang baik dari para peserta supaya mengadakan lagi seminar berbentuk sebegini yang penuh dengan informasi untuk memberi pengetahuan yang mendalam pada setiap wanita yang berada di negeri Perlis ini. Syabas! Teruskan usaha.

Monday, November 27, 2006

PPWN 2006


Perhimpunan Perwakilan Wanita JIM peringkat National telah selamat di adakan!
Untuk mendengar ucapan dasar sila klik sini

Friday, November 17, 2006

SEMPENA PERASMIAN PAKSI..peranan Bapa

PERANAN BAPA & SUAMI DALAM

PEMBANGUNAN KELUARGA


Kefahaman Mengenai Institusi Keluarga


Sesebuah institusi keluarga merupakan unit-unit asas yang penting di dalam pembinaan struktur sesebuah masyarakat yang mantap.Institusi keluarga ini pula dikemudi oleh dua insan yang amat penting iaitu “Ibu” dan “Bapa”. Jika terdapat kecacatan pada salah seorang dari mereka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka maka akan cacat dan terencatlah kelancaran bahtera institusi keluarga ini. Ibu dan bapa amat penting dalam pembangunan sesebuah keluarga; hubungan antara keduanya dan juga dengan anak-anak mestilah erat dan rapat.


Menurut Tengku Intan Zarina di dalam bukunya, Keibubapaan – Mengenalpasti sifat dan Cabarannya, perkataan keluarga dalam bahasa Arab disebut “usrah”. Dan dari sudut bahasa ia bermakna kuat, urat dan kejadian yang kukuh.


Keluarga juga boleh ditakrifkan sebagai sekelompok individu yang mempunyai pertalian darah,yang hidup bersama berlandaskan satu nilai/ pegangan hidup yang dikongsi dan yang terikat di antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang. Memandangkan keluarga adalah unit asas di dalam sesuatu masyarakat, maka jika cacat sesebuah keluarga itu, maka pincanglah juga masyarakat tersebut.


Keluarga atau rumahtangga juga merupakan unit asas di dalam sesebuah negara. Jika negara diibaratkan seperti sebuah rumah, maka rumahtangga adalah asas binaan rumah tersebut. Dalam membangun sebuah negara yang maju dan progresif , asas binaan inilah yang perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Jika asasnya kukuh, akan teguhlah negara yang akan dibangunkan nanti. Jika sebaliknya, negara tersebut tidak akan bertahan lama dan hanya menantikan saat runtuhnya sahaja.


Sebuah keluarga Islam sudah tentunya akan mempunyai satu pegangan hidup yang dikongsi bersama ke arah mendapat keredhaan ALlah di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun, seringkali diperhatikan seolah-olah pegangan hidup ini tidak dikongsi bersama dan tidak dihayati sepenuhnya sehingga anak-anak dan cucu-cicit menyimpang jauh dari wawasan orang tua mereka.


Kemantapan Keluarga & Gejala Sosial


Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa gejala sosial yang berlaku adalah berpunca dari kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga akibat hubungan yang retak di antara ahli keluarga. Gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, pengambilan minuman keras, seks bebas, dan pelbagai kegiatan jenayah yang melibatkan remaja yang semakin meningkat dan membimbangkan adalah berpunca dari lemahnya institusi keluarga dan kegagalan ibu-bapa dalam mendidik dan menyediakan model ikutan kepada anak-anak. Fenomena ini amatlah menggerunkan dan perlu ditangani segera disemua peringkat.


Sebuah keluarga du’at yang sentiasa menyantuni masyarakat untuk menyebarkan risalah Islam sudah tentunya adalah permata di dalam masyarakat. Sayang sekali permata–permata ini berselerak dengan cahaya terpancar-pancar. Seringkali permata ini pudar sinarannya, tidak menyerlah cahayanya. Ada juga yang tidak digilap langsung.


Peranan Seorang Bapa dan Suami


Manusia diciptakan dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan susuk kehidupan spiritual dan fizikal serta dikurniakan aqal untuk mereka berfikir. Analisis dan pertimbangan aqal mereka dengan petunjuk dari Al Quran & As Sunnah seharusnya membolehkan mereka untuk mencorak kehidupan yang diredhai Allah SWT dan akhirnya, membolehkan mereka bertemu Allah SWT kelak di dalam keredhaanNya.


Sehubungan dengan itu, Allah SWT mengingatkan kita di dalam Surah Ibrahim, ayat 52 :-


(Al Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya ; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahwa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf ”.


Maka dengan itu, para bapa dan suami juga tidak terkecuali dalam hal ini, iaitu menjadikan Al Quran sebagai peringatan dan nasihat buat diri mereka. Mereka mempunyai tanggungjawab khusus dan umum yang perlu dilaksanakan agar tuntutan sebagai seorang bapa atau suami dapat dilaksanakan dengan baik untuk membangunkan sel-sel keluarga yang sejahtera seperti dilakarkan di awal penulisan ini.


Di dalam bingkisan ini , saya ingin mengajak para bapa & suami untuk merenung kembali PERANAN mereka sebagai ketua dalam mengemudi institusi keluarga ke arah melahirkan dan membangunkan unit keluarga yang sejahtera. Unit-unit keluarga yang sejahtera pula akan melahirkan generasi yang berkualiti, yakni yang soleh wa musleh.


1. Berperanan seperti Chief Executive Officer (CEO).


Bapa dan suami boleh diumpamakan sebagai seorang “CEO” dalam sebuah syarikat. Sebagaimana seorang CEO beliau mestilah mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan samada melibatkan kemaslahatan kakitangan, soal kewangan dan urusan perniagaan yang ditangani oleh syarikat. Sebagaimana seorang CEO juga yang sentiasa berusaha menggerakkan inisiatif baru bagi memastikan syarikat terus progresif, seorang bapa dan suami harus memikirkan langkah-langkah untuk menyediakan keluarga yang mampu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dalam era globalisasi yang menghakis nilai-nilai murni kehidupan pada hari ini. Kesimpulannya seorang bapa dan suami perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai persiapan, ilmu dan kemahiran jika ia ingin melaksanakan tugas beliau dengan jaya dan berkesan.


Menyedari betapa pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh para bapa dan suami dalam pembentukan institusi keluarga, maka saya ingin mengambil kesempatan di dalam penulisan ini untuk mengenengahkan akan keadilan dan hak yang perlu diberikan kepada para bapa dan suami tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka sudah begitu lama ditahan tanpa bicara. Mereka ini telah terpisah dari keluarga mereka untuk sekian lama dan dinafikan dari menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa terhadap keluarga mereka. Isteri dan anak-anak yang telah terpisah sekian lama tanpa kasih sayang dan belaian sempurna seorang bapa atau suami sudah tentunya akan mengundang kepincangan kepada institusi keluarga mereka. Kepincangan ini pula akan menambahkan lagi statistik gejala sosial masyarakat di Malaysia secara umumnya.


Walaupun baru-baru ini 17 orang telah dibebaskan, namun bagaimana pula dengan yang lain? Bebaskan mereka segera atau hadapkan mereka ke muka pengadilan untuk mendapat pembelaan/ pertuduhan yang sewajarnya. Penyiksaan emosi dan mental para isteri-isteri dan anak-anak yang tidak berdosa kerana terpisah dari bapa atau suami mereka tanpa sebab-sebab yang tidak difahami sendiri oleh ahli keluarga tidak sepatutnya dilakukan.


Para bapa dan suami yang sedang menggalas tanggungjawab dan tuntutan sebagai ketua keluarga/CEO ini hendaklah sentiasa berdoa dan menghayati firman Allah SWT dalam Surah Furqaan, ayat 74 agar mereka dan keturunan mereka menjadi pemimpin orang-orang yang bertakwa (”...waj ’alnaa lil muttaqiina imaamaa.”)

Maksud ayat :-

Dan orang-orang beriman berdoa : ” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri dan keturunan kami anak yang menyejukkan mata; dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”.


2. Pengukuh & Penstabil Institusi keluarga


Para bapa dan suami sewajibnya berusaha bersungguh- sungguh untuk mengukuhkan institusi keluarga yang telah mereka pilih dan mereka bina sekian lama. Institusi keluarga yang mantap dan kukuh memerlukan seorang bapa dan suami yang mampu memimpin dengan adil dan saksama. Para bapa dan suami hendaklah menerajui dan memainkan peranan aktif dalam memakmurkan rumahtangga dan keluarga mereka. Mereka hendaklah dengan penuh rasa tanggungjawab memimpin keluarga berlandaskan aqidah yang mantap dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah.


Mungkin para bapa dan suami hari ini mudah lupa. Oleh itu, mari kita sama-sama mengimbau kembali amanah-amanah yang telah diperingatkan oleh jurunikah yang telah melafazkan khutbah nikah kepada kita disaksikan oleh saudara-mara dan rakan taulan. Imbau kembali semangat dan komitmen kita yang cukup tinggi ketika itu sebelum menerima isteri kita sebagai isteri yang sah.


Singkap kembali pesanan RasuluLlah s.a.w. di dalam khutbah wida’ baginda kepada para sahabat dan di antaranya merupakan amanah untuk menjaga kaum wanita.


Para suami dan bapa mesti menjadi penstabil dan pengukuh aspek fizikal, kewangan, mental dan emosi keluarganya. Kestabilan dan pengukuhan sel-sel keluarga ini akan menyumbang kepada kestabilan masyarakat dan negara, Insya Allah.




3. Berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab dan memenuhi hak-hak ahli keluarganya


Sebagai ketua keluarga, seorang bapa dan suami bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Ini adalah kerana anak-anak bakal mewarisi dan mengambil tempat ibu bapa pada hari ini. Pendidikan amat penting kerana melaluinyalah nilai-nilai masyarakat seperti akhlak dan pegangan hidup dapat diperturunkan kepada anak-anak yang merupakan pewaris generasi akan datang. Pendidikan juga dapat mengatur anggota masyarakat agar hidup berdasarkan kasih-sayang, hormat-menghormati dan mempunyai sifat kepedulian yang tinggi, yang akan mewujudkan sebuah negara yang aman makmur.


Surah An Nisaa’, ayat 9 bermaksud :

Dan hendaklah takut kepada ALlah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka….”

mengingatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak yang lemah sebagai generasi pelapis. Seorang bapa haruslah mendidik anak-anak agar mereka mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menjalani kehidupan di zaman mereka kelak.


4. Berperanan sebagai pelindung kepada setiap ahli keluarga.


Al Quran merakamkan kisah Nabi Zakariyya a.s. di dalam doa baginda untuk isteri dan anaknya melalui Surah Ali Imran, ayat 36 yang bermaksud :-


....Dan sesungguhnya aku (Zakariyya) memohon perlindungan kepadaMu bagi dirinya (Maryam) dan keturunannya dari syaitan yang terkutuk ”


Ayat di atas mengajar kepada semua bapa dan suami agar memohon kepada Allah SWT untuk menjaga ahli keluarganya dari gangguan makhluk halus serta gangguan dari segala fenomena buruk di sekitar mereka.


Selain dari doa, adalah menjadi tanggungjawab asasi bagi seorang bapa dan suami melindungi ahli keluarganya. Mereka menjadi benteng dan pagar terhadap maruah ahli keluarga mereka. Mereka seharusnya mewujudkan suasana yang aman dan persekitaran tempat tinggal yang selamat dan bebas dari segala bentuk gangguan yang boleh mengancam ahli keluarganya, samada dari sudut fizikal, mental dan emosi.


Di dalam hal ini, cukuplah dipaparkan pula doa Nabi Ibrahim a.s. di dalam Surah Ibrahim, ayat 35 – 37 yang mengambar atau melambangkan naluri semua ibu bapa yang waras terhadap keselamatan dan perlindungan bagi anak-anak mereka, iaitu :-


Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa : ” Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Makkah) tempat yang aman; dan jauhkanlah diriku dan anak-anakku dari penyembahan berhala. Wahai Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menyesatkan sebahagian manusia; maka barangsiapa mahu mengikuti agamaku,bererti dia dari golonganku. Dan barangsiapa derhaka kepadaku, maka Engkau sesungguhnya Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Wahai Tuhan kami, aku telah tempatkan anak keturunanku di lembah yang tidak tumbuh sesuatu tumbuhan berada di sisi rumahMu yang mulia.

Wahai Tuhan kami, jadikanlah mereka orang yang dapat menegakkan solat, dan jadikanlah sebahagian hati manusia suka kepada mereka. Dan berilah mereka rezeki, buah-buahan agar merek bersyukur ”.


Doa ini dikuatkan lagi dengan peringatan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, mafhumnya :


Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya” (Hadith riwayat Tarmidhi)


5. Menjadi contoh terbaik (“role model”) dalam mendidik ahli keluarga untuk menghayati prinsip hidup yang positif.


Pernahkah kita melihat seekor itik mengajar anaknya berjalan dengan betul ? Mungkin soalan sebegini melucukan, namun realiti masyarakat hari ini melambangkan keadaan tenat yang sedemikian.


Umpamanya, bagaimanakah keberkesanan nasihat seorang bapa terhadap ahli keluarganya untuk mendirikan solat atau berhenti merokok sedangkan si bapa atau suami juga tidak melakukan solat dan masih merokok ?


Lisaanul hal ataupun contoh melalui perbuatan ini merupakan senjata yang sangat berkesan dan kukuh apabila mendidik, namun ia boleh menghasilkan pengajaran sebaliknya apabila kata-kata yang dituturkan dan amalan seharian yang ditunjukkan oleh para bapa dan suami tidak sejajar dengan sahsiah yang mereka pamerkan setiap hari.


Hayatilah dengan teliti firman Allah SWT, Surah As Saff, ayat 2 – 3, mafhumnya :-

Wahai orang-orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan ”.


Rumusan


Pihak berwajib mempunyai tanggungjawab untuk menjadi penstabil dan pengukuh terhadap pimpinan dan ahli masyarakat di bawah kelolaannya. Dalam pada itu, para bapa dan suami pula menjadi pihak berwajib di dalam keluarganya dan mesti memainkan peranan yang sewajarnya yang telah ditaklifkan oleh Allah dan RasulNya. Pelbagai cabaran keluarga yang berlaku hari ini tidak mudah untuk diselesaikan kerana punca cabaran ini datangnya dari para bapa dan suami sendiri.


Maka berubah dan bertindaklah dari sekarang untuk mengislahkan diri kita menjadi suami dan bapa yang soleh agar kehidupan keluarga kita diredhai dan diberkati Allah swt.


Kita mampu melakukannya !


Zairulshahfuddin Zainal Abidin,

Pengerusi,

Jawatankuasa Pembangunan Keluarga & Kebajikan,

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Bangi, Selangor

Ramadan 1427H






Wednesday, November 15, 2006


PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)


KENYATAAN MEDIA


1. PERHIMPUNAN PERWAKILAN NASIONAL 2006 (PPN 2006)

2. PERHIMPUNAN PERWAKILAN WANITA NASIONAL 2006 (PPWN)

3. KARNIVAL JIM BERSAMA MASYARAKAT 2006


Assalamu’alaikum.

Sukacita dimaklumkan bahawa Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) akan mengadakan Perhimpunan Perwakilan Nasional 2006 pada 25 dan 26 November 2006 (Sabtu dan Ahad) di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur. Perhimpunan tahunan ini akan melibatkan pimpinan, perwakilan dan pemerhati di peringkat pusat, negeri dan daerah. Perhimpunan kali ini bertemakan: “Menggembleng Ummah Memperjuangkan Syariah”. Presiden JIM, Tuan Haji Zaid Kamaruddin akan menyampaikan Ucapan Dasar dengan tajuk seperti tema di atas pada pagi Sabtu 25 November 2006 (Sabtu).

Kami juga ingin memaklumkan bahawa Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional 2006 akan diadakan sehari sebelum itu, iaitu pada 24 November 2006 (Jumaat) di tempat yang sama. Tema Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional pada tahun ini adalah: “Menggarap Pembangunan Modal Insan Berkualiti”. Ketua Wanita JIM, Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj akan menyampaikan Ucapan Dasar dengan tajuk seperti tema di atas pada pagi Jumaat, 25 November 2006.

Serentak dengan perhimpunan ini, kami juga akan mengadakan “Karnival JIM Bersama Masyarakat”. Terdapat banyak acara menarik yang akan diadakan sepanjang karnival ini. Antara acara yang akan berlangsung sepanjang karnival tiga hari ini adalah:


  • Pameran aktiviti-aktiviti JIM. Para pengunjung akan berpeluang mengenali JIM dengan lebih dekat

  • Kaunter Khidmat Kesihatan

  • Kaunter Khidmat Guaman

  • Gerai-gerai jualan pelbagai barangan

  • Enam sesi perkongsian interaktif dengan pelbagai tokoh yang meliputi pelbagai tajuk seperti kekeluargaan, remaja, dakwah, remaja puteri, komunikasi berkesan untuk remaja serta isu Palestin

Penyertaan dalam aturcara di karnival adalah percuma.

Justeru, kami ingin menjemput:

  1. Media – untuk membuat liputan sepanjang majlis perasmian PPN 2006 dan PPWN 2006. Satu sesi sidang media akan diadakan selepas kedua-dua majlis perasmian tersebut. Pihak media juga dijemput untuk membuat liputan sepanjang Karnival JIM Bersama Masyarakat diadakan.

  1. Orang ramai – untuk mengambil bahagian dalam semua aturcara Karnival JIM Bersama Masyarakat 2006.

Bersama ini disertakan aturcara penuh bagi PPN 2006, PPWN 2006 dan Karnival JIM Bersama Masyarakat dan peta untuk ke Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur.

Sila lawati laman kami untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program-program di atas di : http://:ppn.jim.org.my/2006

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan kami nanti!


Wassalam.


Hj Nahar Md. Nor

Setiausaha Agung JIM

15 November 2006


Friday, November 03, 2006

Bicara Siswa Telah di adakan......

Dibawakan khas untuk anda


BICARA SISWA: GEJALA SEKSUAL DI KALANGAN PELAJAR IPT
Ahad pagi, 15 okt. 2006, WJIM Pusat dan Unit SISMA Karisma mengadakan satu wacana Bicara Siswa yang julung-julung kali dibuat bersama. Tajuk wacana : Gejala Seksual di kalngan pelajar IPT'
3 panelists alhamdulillah menyuarakan pandangan dan pendekatan yang reliasitk.

ANJURAN: WANITA JIM PUSAT & SISMA KARISMA NASIONAL


Tarikh : 15 Oktober 2006 (Ahad)
Jam : 8.30 pagi � 1.00 tengahari
Tempat : Classroom 2, Masjid UIA Gombak
Panelis : PM Dr Harlina Halizah Siraj
Pn Rosmawati Zainal Abidin
Pn Azlina Roszy Mohamad Ghaffar


Tiada sebarang bayaran RM dikenakan

Friday, October 20, 2006

Kontarn Nasional 2006

Konvensyion Tarbiyyah Nasional adalah aktiviti tahunan Wanita JIM . Sejak 4 tahun yang lepas ia di adakan bersama dengan Ikhwah JIM

Jom Lepak, Mahkota Parade Melaka


Program JOM LEPAK adalah sebuah program yang di adakan di merata Kota Besar di Malaysia, Sebuah program khas ditujukan untuk Remaja.

Thursday, October 19, 2006

Menghadir Program Membina Diri


Wanita JIM Perlis sedang menulis jurnal sebagai salah satu aktiviti dalam Program Berjiwa Besar .