Sunday, May 27, 2007

Seminar hak asasi anjuran Jim perjelas konflik yang melanda umat Islam



Roy Rasul

Sat | May 26, 07 | 05:00:14 PM
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) – Polemik terhadap isu-isu yang dipertikaikan seperti hak kebebasan beragama, isu murtad, pertikaian terhadap perlaksanaan hukum hudud dan qisas serta lain-lain perlu diberi kefahaman yang betul kepada masyarakat.
Penasihat Seminar Kebangsaan Hak Asasi Manusia & Wanita Islam (Shamwi), Syed Ibrahim Syed Noh, berkata ini kerana, Islam dituduh tidak bersifat akomodatif terhadap hak individu dalam menentukan agama yang dianuti sebagaimana dilaungkan pejuang hak asasi manusia Barat.
“Barat menyatakan bahawa dalam Islam jelas seseorang Muslim itu tiada hak untuk tukar agama sekiranya beliau dilahir dalam sebuah keluarga Islam. Tetapi orang Islam gembira menerima golongan bukan Muslim memeluk Islam.
“Barat bersikap ‘double standard’ kerana membenarkan orang Islam murtad dan sekiranya perkara itu berlaku, individu itu boleh dikenakan hukuman bunuh,” katanya dalam satu sidang media di seminar Shamwi yang diadakan di PWTC, dekat sini hari ini.
Kekeliruan tersebut katanya, adalah disebabkan kekurangan kefahaman mereka terhadap konsep asas dan nilai yang diambil oleh Islam daripada sumbernya tersendiri iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak dan qias para ulama.
Beliau berkata, ini bermakna ada hak-hak tertentu yang menjadi milik Allah swt, termasuk melindungi kesucian dan kemuliaan agama.
“Sekiranya dibenarkan seseorang muslim keluar masuk sesuka hati sebagaimana menukar bajunya, adalah ditakuti hak sedemikian boleh menjadi bahan lawak masyarakat bukan Islam dan seterusnya menjejaskan kesucian dan kemuliaan Islam itu sendiri,” tegasnya lagi.
Para ulama dan cedikiawan Islam katanya, telah menggubal instrumen hak asasi manusia dalam Islam seperti Universal Islamic Declaration of Human Raight, 1981 (UIDHR) dan Cairo Declaration of Human Rights in Islam, 1990 yang sepatutnya dilaksanakan.
Prinsip-prinsip yang harus disokong katanya, seperti hak terhadap kebebasan, hak bebas daripada dieksploitasi, hak mendapat perlindungan politik, hak kebebasan bersuara, hak jaminan beragama dan hak berpersatuan.
Sementara itu, Dato’ Prof Dr Hamdan Adnan yang turut serta dalam sidang media itu berkata, apabila timbul konflik tentang agama contohnya permohonan keluar daripada agama Islam umatnya perlu melihat dengan lebih rapi dan implikasinya secara menyeluruh terhadap kebajikan umat Islam di negara ini.
Beliau yang sebelum itu berucap dalam ucaptama seminar tersebut berkata, ini kerana apabila berlaku percanggahan di antara kepentingan individu dengan kepentingana awam maka katanya, kepentingan awam perlu diutamakan .
“Walaupun Barat sering mengutarakan jika kepentingan individu tidak diamalkan kepentingan awam tidak akan terjejas tetapi dalam hal ini manusia perlu menggunakan kebijakasanaan dalam konteks yang mana lebih perlu diutamakan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, yang menimbulkan masalah ialah umat Islam tidak lantang bersuara, sebaliknya mudah mengalah.
“Dalam agama kita tak boleh rendah diri dan kita tak boleh mengalah kerana tuntutan tersebut adalah untuk agama Allah bukan untuk manusia dan berasaskan itu kita mesti berani dan bijak,” katanya sambil berkata, umat Isam juga jangan mudah menggelabah sebaliknya mengkaji sebelum bertindak khasnya terhadap isu-isu kontroversi.
Sementara itu, menerusi seminar ini Jamaah Islah Malaysia (Jim) yang menjadi penganjurnya melancarkan blog hak asasi manusia dalam Islam beralamat: www.islamchumanright.com. Pelancarannya dilakukan oleh Prof Hamdan.
Seminar tersebut yang diadakan pada hari ini dan esok dirasmikan presiden Jim, Zaid Kamaruddin.
Pelbagai program juga diadakan, antaranya pembentangan kertas kerja oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, bertajuk "Sejarah dan Hak Asasi Manusia dalam Islam".
Manakala, bekas Presiden Jim , Shaari Sungip membentang kertas kerja bertajuk, "Pengisytiharan Hak Asasi Manusia: Barat dan Islam".
Satu Forum Hak Asasi bertajuk, Hak Asasi Manusia dalam Konteks Malaysia turut dilangsungkan.
Turut membentangkan kertas kerja pada hari ini ialah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang bertajuk: "Hak Asasi, Undang-undang dan Pengamalannya di Malaysia".
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin pula akan membantangkan kertas kerjanya esok yang bertajuk "Hak-hak Wanita dalam Islam".
Turut sama membentang kertas kerja pada hari kedua itu ialah Katua Wanita Jim, Dr Harlina Halizah Siraj bertajuk: "Memartabatkan Hak Wanita: Sejarah, Cabaran dan Harapan". - mns

Thursday, May 24, 2007

Perkongsian World Forum On Early Care and Education (ECCE) 2007






Perkongsian World Forum On Early Care and Education (ECCE) 2007-
Jalan-jalan yang perlu dirintis.

Oleh Rosnah Ahmad.
Tempat: Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur
Tarikh : 15-18 Mei 2007


Alhamdullillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinnya, saya berpeluang mengikuti forum di atas. Banyak sekali yang saya pelajari daripada lebih 700 delegasi yang datang dari 73 negara dari 6 benua.
Delegasi dari latarbelakang dan disiplin yang berbeza membawa bersama mesej dan suara kanak-kanak yang perlu kita peka dan peduli.
Anak-anak yatim, HIV/AIDS, terabai, miskin, keperluan khas, dalam penjara kerana ibu dipenjara, ibu bapa sibuk, mangsa peperangan dan pelbagai masalah kesihatan dan sosial.
Delegasi yang hadir bukan sahaja menolong dalam bentuk wang, tenaga dan masa, malah membuka rumah-rumah mereka untuk anak-anak ini.
Contohnya Ibu Draga dan Bapak Mirdas, pasangan suami isteri dari Indonesia mempunyai rumah anak yatim untuk anak lelaki dan membawa masuk anak-anak yatim perempuan ke rumah mereka di Jakarta. Apabila Tsunami melanda, mereka tidak berfikir dua kali untuk ke Aceh.
Antara perkara pertama yang mereka lakukan adalah mengusahakan penempatan untuk 300 anak yatim. Pasangan suami isteri ini menubuhkan Yayasan Fajar Hidayah dan sedang berusaha mengembangkan penempatan anak yatim Aceh berbentuk asrama kepada 1200 orang.
Saya juga berkesempatan berinteraksi dengan beberapa orang anak yatim Aceh yang turut hadir ke World Forum ini.
Anak-anak ini masih belum sembuh. Salah seorang anak yatim yang ditemui tidak pernah menangis. Anak ini sebenarnya menyimpan pelbagai emosi yang harus di beri penawar oleh penjaga mereka.
Ibu Draga dan Bapak Mirdas menyarankan supaya rakyat Malaysia menziarahi Aceh. Sumbangan yang boleh diberikan bukan sahaja berbentuk kewangan tetapi juga kemahiran yang boleh diajar kepada anak-anak seperti menjahit, kerja tangan dan bertukang.
Pasangan suami isteri dari Uganda, Noelina dan Patrik yang mempunyai 8 orang anak membuka rumah mereka untuk anak-anak mangsa HIV/AIDS. Anak-anak ini dalam usia yang masih kecil terpaksa menjaga ibu bapa mereka yang sakit. Mereka juga ada yang dijangkiti penyakit ini. Lebih menyedihkan mereka ditinggalkan sendirian dirumah setelah kematian ibu bapa mereka. Tiada siapa yang ingin memelihara anak yang dijangkiti penyakit ini. Kerajaan Uganda juga tidak memainkan peranan yang sepatutnya.
Noelina bercerita bagaimana dia dan suaminya rasa terpanggil untuk melawat rumah-rumah di sekitar bandar tempat tinggal mereka dan menolong keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. Anak yang ditinggalkan dan tanpa saudar mara diambil untuk dipelihara oleh mereka. Beliau menceritakan pengalaman berjumpa seorang kanak-kanak kecil ditinggalkan keseorangan dalam rumah dalam keadaan kebuluran dan mengalami penderitaan emosi yang kronik. Cabaran memelihara anak ini banyak sekali. Sekarang anak ini sudah berusia 16 tahun dan boleh berdikari.
Eduardo dari Mexico , pengurus kandungan saintifik dalam program klinikal La Casa de la Sak, a.c sebuah badan bukan kerajaan membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mangsa HIV/AIDS. Keadaan di Mexico parah dengan gejala sosial dan masalah dadah yang semakin meruncing.
Rana Ismail dari Lebonon pula terlibat dalam kerja-kerja sukarela membantu kanak-kanak mangsa peperangan yang menghadapi pelbagai trauma. Beliau memaklumkan bahawa ramai sukarelawan juga perlu menjalani terapi kerana sedang berusaha mengurus diri sendiri yang juga terkesan oleh peperangan. Pada masa yang sama, masa hadapan mereka terlalu goyah menyedari peperangan yang bila-bila masa boleh meletus.
Hassan dari Iraq terlibat secara langsung membantu sebahagian daripada lebih kurang 5 juta anak-anak mangsa perang di Iraq. Keadaan di Iraq juga sangat menyedihkan. Masih ramai kanak-kanak yang menderita tanpa bantuan yang sepatutnya.
Ramai lagi delegasi yang berhati mulia dan berjiwa besar yang saya temui. Moga Allah memberi hidayah dan dimudahkan segala usaha mereka.
Bila ditanya dari mana datangnya sumber kewangan bagi membiayai kerja-kerja yang sukar ini, jawapan mereka adalah sama-dari Allah. Walau apa jua pegangan ataupun kepercayaan mereka. Bagi mereka, segala yang dilakukan adalah panggilan jihad dan pertolongan Allah akan datang dari seluruh dunia.
Apapun bukan calang-calang pengorbanan yang harus mereka lakukan dan cabaran yang harus dilalui dengan tabah. Hanya kekuatan dalaman mampu membuatkan mereka terus bertahan dan berjuang.
Mengalir air mata saya bila berbual dengan mereka. Noelina berkata “kalau awak menangis mendengar cerita saya, tak tahulah bagaimana keadaan awak kalau melawat anak-anak yatim ini di rumah saya di Uganda”.
Secara berseloroh saya bertanya kalau saya kesana masih ada lagikah bilik untuk saya tumpang tidur. Dia menjawab “ Puan boleh ambil bilik saya ”. Itulah semangat yang harus kita bina dalam diri kita yang bergelar pejuang.
Selain daripada itu semua kanak-kanak di dunia sedang menghadapi banyak ancaman dari pelbagai sudut. Negara maju juga ada masalah mereka tersendiri, masalah sosial dan depresi di kalangan kanak-kanak. Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak berpusatkan kanak-kanak tetapi lebih berpusatkan kehendak ibu bapa dan penjaga. Mereka tidak disatuni secara fitrah.
Kanak-kanak di Malaysia juga tidak terlepas dari banyak ancaman. Kualiti institusi sokongan dan pendidikan kita juga masih rendah. Nasib anak-anak kita belum terbela.
Dalam satu sesi pilihan, saya memilih untuk menghadiri sesi perkongsian “ Using 2007 Education for All Global Monitoring Report for Advocacy” . Report yang diberikan akan membantu Child Advocacy (Advocacy-the giving of public support to an idea) diseluruh dunia. Report ini sangat berguna untuk membantu child advocates diseluruh dunia memperjuangkan hak dan keadilan kanak-kanak.
Sesi perkongsian “Men in Early Childhood” juga menarik minat saya. Di serata dunia penglibatan lelaki dalam bidang ini sangat sedikit. Kanak-kanak memerlukan kesimbangan interaksi dengan orang dewasa lelaki dan perempuan. Ia juga penting bagi proses melahirkan pemimpin yang lebih berwibawa.
Satu lagi topik yang sangat dekat dihati saya adalah “ Learning with nature”. Secara fitrah, kanak-kanak belajar daripada penerokaan menggunakan pancaindera. Penerokaan dengan alam akan membawa mereka mengenal pencipta. Alam juga mempunyai pelbagai penawar.
Kesimpulannya, saya merasakan bahawa usaha saya sebagai aktivis dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak masih belum cukup malah terlalu kecil berbanding dengan orang lain dan kehendak keadaan sebenar.
Wahai sahabat-sahabat seperjuangan sekelian, jalan-jalan dakwah dalam bidang ini perlu terus dirintis. Kepekaan dan kepedulian kita dalam isu membabitkan kanak-kanak harus dipertingkatkan.
Bilangan aktivis bidang ini di Malaysia juga masih terlalu kecil. Kita memerlukan lebih ramai aktivis supaya suara kita lebih lantang.
Ayuh mari sama-sama kita terus keluar dari zon selesa kita dan berjihad. Moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung.
Al-Quran. Surah At-Taubah ayat 24.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai—(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada rang-orang yang fasik (derhaka)
Sila lawati blog saya http\\:rentis.blogspot.com untuk links to websites yang berkaitan dan sedikit penulisan yang sedang dikemaskini. Sebarang cadangan dan komen sangat dialu-alukan
Akhir kalam, terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menyumbang dari bentuk kewangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan iringan doa. Hanya Allah pemberi sebaik-baik balasan.
Tidak lupa kepada suami, anak-anak, adik-adik dan pekerja-pekerja saya yang telah banyak berkorban dan memudahkan urusan. Semoga segala pengorbanan dan sokongan akan mendapat redha dan Jannah Allah.
Segala yang baik adalah dari Allah dan segala kekurangan adalah dari diri saya sebagai hamba Allah yang kerdil.
Wallhu’alam. Sekian.
Rosnah Ahmad
Teratak Sakeenah
Kuantan, Pahnag
12.25 pagi 25 Mei 2007
bersamaan 8 Jamilawwal 1428H

Tuesday, May 22, 2007

Perjumpaan dengan ahli JIM Sarawak








Lawatan Timbalan Ketua Wanita JIM ke Sarawak : Perjumpaan dengan ahli JIM
Bintulu

Pada 11 Mei 2007 , Timbalan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pusat Dr Hafidzah Hj Mustakim tiba di Bintulu untuk mengadakan lawatan kerja menemui ahli wanita JIM Sarawak di Bintulu. Ketibaan beliau dan suami Che Rahimi Samat dari Kuala Lumpur telah di sambut oleh Ketua Wanita JIM Sarawak Puan Junaidah Sagikin dan suami En Khairul . Pertemuan bersama ahli- ahli JIM Bintulu telah diadakan di Tadika Brillliant Kindy, Bintulu . Yang Dipertua JIM Daerah Bintulu En Anuar dalam ucapan alua-aluannya merakamkan rasa penghargaan di atas kunjungan wakil dari pimpinan pusat ke Bintulu.

Beliau juga berpuashati di atas kesepaduan kerja yang ditunjukkan oleh ahli-ahli JIM Bintulu disamping menegaskan sokongan beliau dan ahli-ahli lelaki JIM terhadap program yang dianjurkan oleh Wanita JIM.

Seterusnya dalam taklimatnya Puan Junaidah Sagikin selaku Ketua Wanita JIM Sarawak menerangkan tentang kedudukan dan aktiviti Wanita JIM Sarawak yang tertumpu sekitar Kuching, Miri dan Bintulu. Di samping mengadakan seminar-seminar pendidikan wanita dan seperti Bengkel Personaliti Unggul,wanita JIM Sarawak juga giat menjalankan kumpulan-kumpulan pengajian untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran wanita . Wanita JIM Sarawak juga aktif menjalankan program pembangunan remaja dan salah satu program yang bakal dijalankan adalah Program Remaja Berwawasan. Cik Hasmah graduan lepasan UITM Dungun selaku wakil dari wanita JIM Miri turut berkongsi pengalaman menjalankan aktiviti pembangunan wanita di Miri .

Dalam ucapannya Dr Hafidzah Mustakim mengatakan ucapan penghargaan dan syabas di atas kegigihan Wanita JIM Sarawak dalam menunaikan tanggungjawab pengislahan dan pembaikan masyarakat yang begitu mencabar di bumi Kenyalang.
Wanita JIM Pusat sentiasa berusaha untuk memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan dalam menjayakan aktiviti Wanita JIM Sarawak. Beliau juga mengingatkan agar ahli-ahli wanita JIM Sarawak meningkatkan kemahiran terutama di sudut ICT agar dapat sama-sama menyumbang disudut forum maya Wanita JIM . Disamping itu ahli-ahli wanita juga diseru untuk melepaskan kekangan minda yang ada agar dapat terus maju menyebarkan cara hidup Islam yang sebenar ke dalam masyarakat. Dalam majlis tersebut Che Rahimi Samat yang merupakan ahli jawatankuasa JIM Kelantan juga berkongsi tips pembinaan generasi pelapis kepada ahli-ahli JIM.

Antara Cita-cita dan Cinta:
Program Remaja Berwawasan


Pada 12 Mei 2005 Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah menganjurkan program pembangunan remaja bernama Program Remaja Berwawasan. Program yang mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah berjaya mengumpulkan seramai 250 orang remaja dari sekolah menengah sekitar Bintulu. SMK Bintulu sahaja menghantar sekitar 50 pelajar. SMK Tatau (lebihkurang 1 jam + perjalanan dari Bintulu juga menghantar peserta dan guru pengiring)

Tepat jam 2 petang Dewan Oditorium BDA (Bintulu Development Authority) telah dipenuhi pelajar berusia 15 – 18 tahun bersama guru-guru pengiring mereka .
Tajuk penyampaian petang tu memang mengancam dan menarik perhatian pelajar “Antara Cinta dan Cita2” . Dengan bantuan bahan multimedia yang dihasilkan Dr Hishamuddin Alham (JIM Johor) “Impian Kasih: Antara Fantasi dan Realiti”, slot 2 jam yang diperuntukan dipergunakan sepenuhnya oleh penceramah jemputan Dr Hafidzah Mustakim .

Dr Hafidzah berjaya menerangkan kepada peserta tentang fasa-fasa perkembangan remaja dan perubahan yang dialami remaja ketika tumbesaran ini. Semasa proses pembesaran, remaja mengalami pelbagai perubahan besar dalam diri mereka disudut fizikal, emosi dan juga mental . Jika ini dapat di fahami dan di tangani dengan kefahaman yang betul maka banyak gejala negatif dapat dihindarkan. Dalam program ini remaja diberikan pendedahan tentang realiti kehidupan remaja yag tersasar sekiranya mereka mengikut perasaan dan naluri negatif dalam diri . Dr Hafidzah juga mengajak remaja untuk berfikir secara rasional dan mencari panduan yang betul dalam kehidupan agar mereka dapat melakukan sesuatu berdasarkan keutamaan yang betul dalam kehidupan.
Panduan cara hidup Islam yang terbukti benar dalam pergaulan dan menangani emsoi remaja juga dibincangkan agar remaja dapat melalui zaman yang mencabar ini dengan jayanya.

Beberapa soalan samada secara lisan atau pun sms yang diterima selepas ceramah memang mencabar minda kita selaku pendakwah. Antaranya:

”Dr , kmk (kame’ – saya dlm bahasa sarawak) ada bercinta dengan pompuan beragama lain, apa pendapat dr”
” Boleh ke berdoa untuk pemuda yang beragama lain”
” Dr apa itu teruna, apa itu dara”
” Dr ramai kawan2 saya couple, saya pun couple tapi yang ringan aje dr, tak
buat yang berat2....”
”Klu orang bertunang, boleh pegang tangan ke?”
”Adakah seorang wanita yang diperkosa sudah tidak dara atau hilang
kehormatannya walaupun dia tidak mahu melakukannya?”


Jelas daripada soalan yang diajukan bahawa remaja hari ini sememangnya amat memerlukan bimbingan dan panduan dari sumber yang boleh dipercayai untuk membantu mereka mengharungi kehidupan.

Sewaktu minum petang antara ustazah yang mengiringi pelajar juga berkongsi masalah yang dihadapi oleh pelajar sekolah mereka. Antaranya ada yang ibubapa bercerai , ayah beragama Islam , ibu iban yang memeluk agama Islam.
Bila bercerai ditinggalkan suami terpaksalah siibu dan anak kembali ke keluarga yang asal . Disinilah dilema si anak bagaimana mahu mempraktikkan keislaman dalam suasana demikian. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kita dalam usaha mereka mendidik dan memberikan kesedaran
Islam kepada masyarakat Sarawak.

Ceramah Keibubapaan Islam di Hospital Bintulu

Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) Hospital Bintulu dengan kerjasama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Bintulu telah berjaya mengadakan program Ceramah Keibubapaan dalam Islam pada 13 Mei 2007. Program yang diadakan di Dewan seminar Hospital telah berjaya mengumpu lkan sekitar 50 kakitangan Hospital Bintulu. En Taib Taha Penyelia Dietetik Hospital Bintulu turut serta dalam program tersebut.

En Muhamad wakil PERKIP dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan ibubapa mempunyai ilmu dan kemahiran dalam mendidik anak dalam zaman yang serba mencabar ini. Beliau menyebutkan tentang hadis Nabi SAW yang mengatakan bahawa setiap anak itu dilahirkan suci mengikut fitrah, ibubapanya lah yang menjadikan anak mereka seperti yahudi, nasrani atau majusi.

Penceramah jemputan Dr Hafidzah Mustakim , Timbalan Ketua Wanita JIM dalam enyampaian beliau menyebutkan hasil kajian yang menunjukkan bahawa hubungan yang erat antara bapa dan anak-anak serta anggota keluarga berkait langsung dengan kesejahteraan kesihatan bapa tersebut. Beliau juga menyenaraikan ciri-ciri ibubapa berjaya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Antara lain ciri-ciri ini adalah:
Penyabar tidak Pemarah
Lemah Lembut tidak Keras
Kasih Sayang
Mempermudah
Fleksibel
Tidak Marah/Mengikut perasaan
Beri nasihat kena pada waktunya


Beliau turut menerangkan konsep psikologi pendidikan anak-anak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Saidina Ali r.a iaitu membahagikan fasa mendidik anak kepada beberapa bahagian. Tujuh tahun pertama ibubapa dinasihatkan untuk menggunakan kaedah bermain dengan anak, tujuh tahun kedua masa untuk mendisiplinkan anak, tujuh tahun beikutnya berkawan dengan anak dan tahun seterusnya ibubapa mestilah menerima hakikat bahawa anak mereka telah dewasa dan wajar diperlakukan selayaknya sebagai orang dewasa.

Majlis di akhiri dengan penceramah berinteraksi dan beramahmesra dengan hadirin yang hadir.

Bengkel Personaliti Unggul Wanita JIM Bintulu

Pada 13 Mei 2007 Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Sarawak telah berjaya menganjurkan Bengkel Personaliti Unggul (BPU). Mereka telah berjaya mengulangi kejayaan penganjuran program ini yang mula diperkenalkan oleh Wanita JIM Selangor pada febuari 2007. Program sehari ini turut di hadiri oleh Ketua Wanita JIM Sarawak Puan Junaidah Ragikin.

Program di mulakan dengan majlis perasmian Bengkel Personaliti Unggul.
Dengan tema “Wanita Unggul Teras Negara” Puan Haziah Sahari selaku pengarah program dalam ucapan aluannya memberikan pengenalan tentang BPU dan usaha Wanita JIM dalam memartabatkan wanita Islam ke tempatnya yang sebenar.
Dengan usaha barisan Ahli Jawatan Kuasa , mereka berjaya mengumpulkan 120 orang wanita sekitar Bintulu untuk menghadiri program. Kejayaan mereka juga terletak dalam mendapat penajaan badan korporat dan orang perseorangan untuk ibu tunggal yang turut hadir sebagi peserta. Pn Jamilah seorang usahawan butik turut menyumbang tenaga dan kemahiran dalam program ini.

Dr Hafidzah Mustakim, Timbalan Ketua Wanita JIM dalam ucapan perasmiannya mengajak wanita Bintulu untuk bersama-sama memartabatkan wanita Islam ke tempatnya yang sebenarnya. Wanita mestilah mempunyai ilmu dan kemahiran tentang kedudukan mereka dan terus memberikan sumbangan yang diperlukan dalam pembangunan negara. Pada masa yang sama mereka harus bijak dari
menjadi mangsa fahaman kebendaan dan kapitalis yang sentiasa mengambil kesempatan dari kelemahan wanita dalam sudut kecantikan dan kemewahan. Hanya dengan kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar , wanita dapat membebaskan diri dari cengkaman hawa nafsu kecantikan luaran yang memperdayakan dan meminta masyarakat menilai mereka di sudut kecantikan dalaman yang bertunjangkan iman dan taqwa kepada Allah sang maha pencipta.

Pengisian seterusnya adalah Bicara Unggul 1 bertajuk “Wanita Unggul dari Perspektif Lelaki” yang disampaikan oleh motivator terkenal. Dr HM Tuah yang menyampaikan pelbagai tips menarik tentang keunggulan wanita di mata lelaki.

Pada sebelah petang Dr Hafidzah meneruskan bicara dengan tajuk “ CantikLuar, Cantik dalam”. Dalam slot ini beliau menjelaskan neraca dan kayu ukur yang harus digunakan wanita dalam menjadi wanita yang berpersonaliti unggul.
Hakikat kecantikan wanita yang hakiki adalah apabila kecantikan yang dicari selari dengan ukuran keimanan yang mendalam kepada Allah SWT. Wanita mestilah berusaha menjaga kecantikan dalaman disamping tidak mengabaikan penampilan luaran.
Islam sebagai agama dan cara hidup fitrah tidak sekali-kali menghalang wanita untuk berhias dan menjaga kecantikan selagi mana ianya tidak melanggar batas yang telah ditentukan oleh Allah. Beliau seterusnya menggariskan 10 tips untuk wanita mencapai keperibadian unggul yang merangkumi penjagaan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial seseorang.

Majlis di akhiri dengan pertunjukkan fesyen busana Muslimah oleh butik milik Puan Jamilah. Rata-rata peserta yang datang amat berpuashati dengan program sehari yang dianjurkan Wanita JIM. Mereka berharap agar program seumpama ini dapat diadakan di masa akan datang.






__________________________________________________

Friday, May 11, 2007

Rehat dan Rawat

Rehat & Rawat bersama Rose & Roha

Hidup memang penuh cabaran

Cabaran Dalaman

&

Cabaran luaran

Kadang-kadang kita rasa kepenatan

Homework yang bertimbun,

Ibubapa yang suka berleter,

Adik-adik yang suka mengganggu,

Kawan baik yang suka merajuk,

Jadual hidup yang padat,

Arghhhhh.....penatnyer

Tubuh yang penat perlukan rehat,

Jiwa yang lelah perlu dirawat,

Jom rehat

&

Rawat bersama

Rose & Roha

Penampilan istimewa

Xifu & Algebra: Aku, muzik & Hidayah Part 2

Pada : 20 Mei 2007 (8.30 pg – 2.00 ptg)

Tempat : Auditorium A, Kulliyah Kejuruteraan UIA Gombak

Sumbangan Penyertaan : RM10.00 sahaja

Untuk Mendapatkan Maklumat Lanjut Tentang Program Ini,

Hubungi :

Huzaifah : 013-3623909

Suriza : 019-3743418

Nazirah : 019-5053008