Sunday, May 27, 2007

Seminar hak asasi anjuran Jim perjelas konflik yang melanda umat Islam



Roy Rasul

Sat | May 26, 07 | 05:00:14 PM
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) – Polemik terhadap isu-isu yang dipertikaikan seperti hak kebebasan beragama, isu murtad, pertikaian terhadap perlaksanaan hukum hudud dan qisas serta lain-lain perlu diberi kefahaman yang betul kepada masyarakat.
Penasihat Seminar Kebangsaan Hak Asasi Manusia & Wanita Islam (Shamwi), Syed Ibrahim Syed Noh, berkata ini kerana, Islam dituduh tidak bersifat akomodatif terhadap hak individu dalam menentukan agama yang dianuti sebagaimana dilaungkan pejuang hak asasi manusia Barat.
“Barat menyatakan bahawa dalam Islam jelas seseorang Muslim itu tiada hak untuk tukar agama sekiranya beliau dilahir dalam sebuah keluarga Islam. Tetapi orang Islam gembira menerima golongan bukan Muslim memeluk Islam.
“Barat bersikap ‘double standard’ kerana membenarkan orang Islam murtad dan sekiranya perkara itu berlaku, individu itu boleh dikenakan hukuman bunuh,” katanya dalam satu sidang media di seminar Shamwi yang diadakan di PWTC, dekat sini hari ini.
Kekeliruan tersebut katanya, adalah disebabkan kekurangan kefahaman mereka terhadap konsep asas dan nilai yang diambil oleh Islam daripada sumbernya tersendiri iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak dan qias para ulama.
Beliau berkata, ini bermakna ada hak-hak tertentu yang menjadi milik Allah swt, termasuk melindungi kesucian dan kemuliaan agama.
“Sekiranya dibenarkan seseorang muslim keluar masuk sesuka hati sebagaimana menukar bajunya, adalah ditakuti hak sedemikian boleh menjadi bahan lawak masyarakat bukan Islam dan seterusnya menjejaskan kesucian dan kemuliaan Islam itu sendiri,” tegasnya lagi.
Para ulama dan cedikiawan Islam katanya, telah menggubal instrumen hak asasi manusia dalam Islam seperti Universal Islamic Declaration of Human Raight, 1981 (UIDHR) dan Cairo Declaration of Human Rights in Islam, 1990 yang sepatutnya dilaksanakan.
Prinsip-prinsip yang harus disokong katanya, seperti hak terhadap kebebasan, hak bebas daripada dieksploitasi, hak mendapat perlindungan politik, hak kebebasan bersuara, hak jaminan beragama dan hak berpersatuan.
Sementara itu, Dato’ Prof Dr Hamdan Adnan yang turut serta dalam sidang media itu berkata, apabila timbul konflik tentang agama contohnya permohonan keluar daripada agama Islam umatnya perlu melihat dengan lebih rapi dan implikasinya secara menyeluruh terhadap kebajikan umat Islam di negara ini.
Beliau yang sebelum itu berucap dalam ucaptama seminar tersebut berkata, ini kerana apabila berlaku percanggahan di antara kepentingan individu dengan kepentingana awam maka katanya, kepentingan awam perlu diutamakan .
“Walaupun Barat sering mengutarakan jika kepentingan individu tidak diamalkan kepentingan awam tidak akan terjejas tetapi dalam hal ini manusia perlu menggunakan kebijakasanaan dalam konteks yang mana lebih perlu diutamakan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, yang menimbulkan masalah ialah umat Islam tidak lantang bersuara, sebaliknya mudah mengalah.
“Dalam agama kita tak boleh rendah diri dan kita tak boleh mengalah kerana tuntutan tersebut adalah untuk agama Allah bukan untuk manusia dan berasaskan itu kita mesti berani dan bijak,” katanya sambil berkata, umat Isam juga jangan mudah menggelabah sebaliknya mengkaji sebelum bertindak khasnya terhadap isu-isu kontroversi.
Sementara itu, menerusi seminar ini Jamaah Islah Malaysia (Jim) yang menjadi penganjurnya melancarkan blog hak asasi manusia dalam Islam beralamat: www.islamchumanright.com. Pelancarannya dilakukan oleh Prof Hamdan.
Seminar tersebut yang diadakan pada hari ini dan esok dirasmikan presiden Jim, Zaid Kamaruddin.
Pelbagai program juga diadakan, antaranya pembentangan kertas kerja oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, bertajuk "Sejarah dan Hak Asasi Manusia dalam Islam".
Manakala, bekas Presiden Jim , Shaari Sungip membentang kertas kerja bertajuk, "Pengisytiharan Hak Asasi Manusia: Barat dan Islam".
Satu Forum Hak Asasi bertajuk, Hak Asasi Manusia dalam Konteks Malaysia turut dilangsungkan.
Turut membentangkan kertas kerja pada hari ini ialah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang bertajuk: "Hak Asasi, Undang-undang dan Pengamalannya di Malaysia".
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin pula akan membantangkan kertas kerjanya esok yang bertajuk "Hak-hak Wanita dalam Islam".
Turut sama membentang kertas kerja pada hari kedua itu ialah Katua Wanita Jim, Dr Harlina Halizah Siraj bertajuk: "Memartabatkan Hak Wanita: Sejarah, Cabaran dan Harapan". - mns

No comments: