Friday, November 17, 2006

SEMPENA PERASMIAN PAKSI..peranan Bapa

PERANAN BAPA & SUAMI DALAM

PEMBANGUNAN KELUARGA


Kefahaman Mengenai Institusi Keluarga


Sesebuah institusi keluarga merupakan unit-unit asas yang penting di dalam pembinaan struktur sesebuah masyarakat yang mantap.Institusi keluarga ini pula dikemudi oleh dua insan yang amat penting iaitu “Ibu” dan “Bapa”. Jika terdapat kecacatan pada salah seorang dari mereka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka maka akan cacat dan terencatlah kelancaran bahtera institusi keluarga ini. Ibu dan bapa amat penting dalam pembangunan sesebuah keluarga; hubungan antara keduanya dan juga dengan anak-anak mestilah erat dan rapat.


Menurut Tengku Intan Zarina di dalam bukunya, Keibubapaan – Mengenalpasti sifat dan Cabarannya, perkataan keluarga dalam bahasa Arab disebut “usrah”. Dan dari sudut bahasa ia bermakna kuat, urat dan kejadian yang kukuh.


Keluarga juga boleh ditakrifkan sebagai sekelompok individu yang mempunyai pertalian darah,yang hidup bersama berlandaskan satu nilai/ pegangan hidup yang dikongsi dan yang terikat di antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang. Memandangkan keluarga adalah unit asas di dalam sesuatu masyarakat, maka jika cacat sesebuah keluarga itu, maka pincanglah juga masyarakat tersebut.


Keluarga atau rumahtangga juga merupakan unit asas di dalam sesebuah negara. Jika negara diibaratkan seperti sebuah rumah, maka rumahtangga adalah asas binaan rumah tersebut. Dalam membangun sebuah negara yang maju dan progresif , asas binaan inilah yang perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Jika asasnya kukuh, akan teguhlah negara yang akan dibangunkan nanti. Jika sebaliknya, negara tersebut tidak akan bertahan lama dan hanya menantikan saat runtuhnya sahaja.


Sebuah keluarga Islam sudah tentunya akan mempunyai satu pegangan hidup yang dikongsi bersama ke arah mendapat keredhaan ALlah di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun, seringkali diperhatikan seolah-olah pegangan hidup ini tidak dikongsi bersama dan tidak dihayati sepenuhnya sehingga anak-anak dan cucu-cicit menyimpang jauh dari wawasan orang tua mereka.


Kemantapan Keluarga & Gejala Sosial


Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa gejala sosial yang berlaku adalah berpunca dari kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga akibat hubungan yang retak di antara ahli keluarga. Gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, pengambilan minuman keras, seks bebas, dan pelbagai kegiatan jenayah yang melibatkan remaja yang semakin meningkat dan membimbangkan adalah berpunca dari lemahnya institusi keluarga dan kegagalan ibu-bapa dalam mendidik dan menyediakan model ikutan kepada anak-anak. Fenomena ini amatlah menggerunkan dan perlu ditangani segera disemua peringkat.


Sebuah keluarga du’at yang sentiasa menyantuni masyarakat untuk menyebarkan risalah Islam sudah tentunya adalah permata di dalam masyarakat. Sayang sekali permata–permata ini berselerak dengan cahaya terpancar-pancar. Seringkali permata ini pudar sinarannya, tidak menyerlah cahayanya. Ada juga yang tidak digilap langsung.


Peranan Seorang Bapa dan Suami


Manusia diciptakan dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan susuk kehidupan spiritual dan fizikal serta dikurniakan aqal untuk mereka berfikir. Analisis dan pertimbangan aqal mereka dengan petunjuk dari Al Quran & As Sunnah seharusnya membolehkan mereka untuk mencorak kehidupan yang diredhai Allah SWT dan akhirnya, membolehkan mereka bertemu Allah SWT kelak di dalam keredhaanNya.


Sehubungan dengan itu, Allah SWT mengingatkan kita di dalam Surah Ibrahim, ayat 52 :-


(Al Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya ; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahwa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf ”.


Maka dengan itu, para bapa dan suami juga tidak terkecuali dalam hal ini, iaitu menjadikan Al Quran sebagai peringatan dan nasihat buat diri mereka. Mereka mempunyai tanggungjawab khusus dan umum yang perlu dilaksanakan agar tuntutan sebagai seorang bapa atau suami dapat dilaksanakan dengan baik untuk membangunkan sel-sel keluarga yang sejahtera seperti dilakarkan di awal penulisan ini.


Di dalam bingkisan ini , saya ingin mengajak para bapa & suami untuk merenung kembali PERANAN mereka sebagai ketua dalam mengemudi institusi keluarga ke arah melahirkan dan membangunkan unit keluarga yang sejahtera. Unit-unit keluarga yang sejahtera pula akan melahirkan generasi yang berkualiti, yakni yang soleh wa musleh.


1. Berperanan seperti Chief Executive Officer (CEO).


Bapa dan suami boleh diumpamakan sebagai seorang “CEO” dalam sebuah syarikat. Sebagaimana seorang CEO beliau mestilah mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan samada melibatkan kemaslahatan kakitangan, soal kewangan dan urusan perniagaan yang ditangani oleh syarikat. Sebagaimana seorang CEO juga yang sentiasa berusaha menggerakkan inisiatif baru bagi memastikan syarikat terus progresif, seorang bapa dan suami harus memikirkan langkah-langkah untuk menyediakan keluarga yang mampu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dalam era globalisasi yang menghakis nilai-nilai murni kehidupan pada hari ini. Kesimpulannya seorang bapa dan suami perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai persiapan, ilmu dan kemahiran jika ia ingin melaksanakan tugas beliau dengan jaya dan berkesan.


Menyedari betapa pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh para bapa dan suami dalam pembentukan institusi keluarga, maka saya ingin mengambil kesempatan di dalam penulisan ini untuk mengenengahkan akan keadilan dan hak yang perlu diberikan kepada para bapa dan suami tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka sudah begitu lama ditahan tanpa bicara. Mereka ini telah terpisah dari keluarga mereka untuk sekian lama dan dinafikan dari menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa terhadap keluarga mereka. Isteri dan anak-anak yang telah terpisah sekian lama tanpa kasih sayang dan belaian sempurna seorang bapa atau suami sudah tentunya akan mengundang kepincangan kepada institusi keluarga mereka. Kepincangan ini pula akan menambahkan lagi statistik gejala sosial masyarakat di Malaysia secara umumnya.


Walaupun baru-baru ini 17 orang telah dibebaskan, namun bagaimana pula dengan yang lain? Bebaskan mereka segera atau hadapkan mereka ke muka pengadilan untuk mendapat pembelaan/ pertuduhan yang sewajarnya. Penyiksaan emosi dan mental para isteri-isteri dan anak-anak yang tidak berdosa kerana terpisah dari bapa atau suami mereka tanpa sebab-sebab yang tidak difahami sendiri oleh ahli keluarga tidak sepatutnya dilakukan.


Para bapa dan suami yang sedang menggalas tanggungjawab dan tuntutan sebagai ketua keluarga/CEO ini hendaklah sentiasa berdoa dan menghayati firman Allah SWT dalam Surah Furqaan, ayat 74 agar mereka dan keturunan mereka menjadi pemimpin orang-orang yang bertakwa (”...waj ’alnaa lil muttaqiina imaamaa.”)

Maksud ayat :-

Dan orang-orang beriman berdoa : ” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri dan keturunan kami anak yang menyejukkan mata; dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”.


2. Pengukuh & Penstabil Institusi keluarga


Para bapa dan suami sewajibnya berusaha bersungguh- sungguh untuk mengukuhkan institusi keluarga yang telah mereka pilih dan mereka bina sekian lama. Institusi keluarga yang mantap dan kukuh memerlukan seorang bapa dan suami yang mampu memimpin dengan adil dan saksama. Para bapa dan suami hendaklah menerajui dan memainkan peranan aktif dalam memakmurkan rumahtangga dan keluarga mereka. Mereka hendaklah dengan penuh rasa tanggungjawab memimpin keluarga berlandaskan aqidah yang mantap dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah.


Mungkin para bapa dan suami hari ini mudah lupa. Oleh itu, mari kita sama-sama mengimbau kembali amanah-amanah yang telah diperingatkan oleh jurunikah yang telah melafazkan khutbah nikah kepada kita disaksikan oleh saudara-mara dan rakan taulan. Imbau kembali semangat dan komitmen kita yang cukup tinggi ketika itu sebelum menerima isteri kita sebagai isteri yang sah.


Singkap kembali pesanan RasuluLlah s.a.w. di dalam khutbah wida’ baginda kepada para sahabat dan di antaranya merupakan amanah untuk menjaga kaum wanita.


Para suami dan bapa mesti menjadi penstabil dan pengukuh aspek fizikal, kewangan, mental dan emosi keluarganya. Kestabilan dan pengukuhan sel-sel keluarga ini akan menyumbang kepada kestabilan masyarakat dan negara, Insya Allah.




3. Berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab dan memenuhi hak-hak ahli keluarganya


Sebagai ketua keluarga, seorang bapa dan suami bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Ini adalah kerana anak-anak bakal mewarisi dan mengambil tempat ibu bapa pada hari ini. Pendidikan amat penting kerana melaluinyalah nilai-nilai masyarakat seperti akhlak dan pegangan hidup dapat diperturunkan kepada anak-anak yang merupakan pewaris generasi akan datang. Pendidikan juga dapat mengatur anggota masyarakat agar hidup berdasarkan kasih-sayang, hormat-menghormati dan mempunyai sifat kepedulian yang tinggi, yang akan mewujudkan sebuah negara yang aman makmur.


Surah An Nisaa’, ayat 9 bermaksud :

Dan hendaklah takut kepada ALlah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka….”

mengingatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak yang lemah sebagai generasi pelapis. Seorang bapa haruslah mendidik anak-anak agar mereka mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menjalani kehidupan di zaman mereka kelak.


4. Berperanan sebagai pelindung kepada setiap ahli keluarga.


Al Quran merakamkan kisah Nabi Zakariyya a.s. di dalam doa baginda untuk isteri dan anaknya melalui Surah Ali Imran, ayat 36 yang bermaksud :-


....Dan sesungguhnya aku (Zakariyya) memohon perlindungan kepadaMu bagi dirinya (Maryam) dan keturunannya dari syaitan yang terkutuk ”


Ayat di atas mengajar kepada semua bapa dan suami agar memohon kepada Allah SWT untuk menjaga ahli keluarganya dari gangguan makhluk halus serta gangguan dari segala fenomena buruk di sekitar mereka.


Selain dari doa, adalah menjadi tanggungjawab asasi bagi seorang bapa dan suami melindungi ahli keluarganya. Mereka menjadi benteng dan pagar terhadap maruah ahli keluarga mereka. Mereka seharusnya mewujudkan suasana yang aman dan persekitaran tempat tinggal yang selamat dan bebas dari segala bentuk gangguan yang boleh mengancam ahli keluarganya, samada dari sudut fizikal, mental dan emosi.


Di dalam hal ini, cukuplah dipaparkan pula doa Nabi Ibrahim a.s. di dalam Surah Ibrahim, ayat 35 – 37 yang mengambar atau melambangkan naluri semua ibu bapa yang waras terhadap keselamatan dan perlindungan bagi anak-anak mereka, iaitu :-


Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa : ” Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Makkah) tempat yang aman; dan jauhkanlah diriku dan anak-anakku dari penyembahan berhala. Wahai Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menyesatkan sebahagian manusia; maka barangsiapa mahu mengikuti agamaku,bererti dia dari golonganku. Dan barangsiapa derhaka kepadaku, maka Engkau sesungguhnya Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Wahai Tuhan kami, aku telah tempatkan anak keturunanku di lembah yang tidak tumbuh sesuatu tumbuhan berada di sisi rumahMu yang mulia.

Wahai Tuhan kami, jadikanlah mereka orang yang dapat menegakkan solat, dan jadikanlah sebahagian hati manusia suka kepada mereka. Dan berilah mereka rezeki, buah-buahan agar merek bersyukur ”.


Doa ini dikuatkan lagi dengan peringatan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, mafhumnya :


Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya” (Hadith riwayat Tarmidhi)


5. Menjadi contoh terbaik (“role model”) dalam mendidik ahli keluarga untuk menghayati prinsip hidup yang positif.


Pernahkah kita melihat seekor itik mengajar anaknya berjalan dengan betul ? Mungkin soalan sebegini melucukan, namun realiti masyarakat hari ini melambangkan keadaan tenat yang sedemikian.


Umpamanya, bagaimanakah keberkesanan nasihat seorang bapa terhadap ahli keluarganya untuk mendirikan solat atau berhenti merokok sedangkan si bapa atau suami juga tidak melakukan solat dan masih merokok ?


Lisaanul hal ataupun contoh melalui perbuatan ini merupakan senjata yang sangat berkesan dan kukuh apabila mendidik, namun ia boleh menghasilkan pengajaran sebaliknya apabila kata-kata yang dituturkan dan amalan seharian yang ditunjukkan oleh para bapa dan suami tidak sejajar dengan sahsiah yang mereka pamerkan setiap hari.


Hayatilah dengan teliti firman Allah SWT, Surah As Saff, ayat 2 – 3, mafhumnya :-

Wahai orang-orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan ”.


Rumusan


Pihak berwajib mempunyai tanggungjawab untuk menjadi penstabil dan pengukuh terhadap pimpinan dan ahli masyarakat di bawah kelolaannya. Dalam pada itu, para bapa dan suami pula menjadi pihak berwajib di dalam keluarganya dan mesti memainkan peranan yang sewajarnya yang telah ditaklifkan oleh Allah dan RasulNya. Pelbagai cabaran keluarga yang berlaku hari ini tidak mudah untuk diselesaikan kerana punca cabaran ini datangnya dari para bapa dan suami sendiri.


Maka berubah dan bertindaklah dari sekarang untuk mengislahkan diri kita menjadi suami dan bapa yang soleh agar kehidupan keluarga kita diredhai dan diberkati Allah swt.


Kita mampu melakukannya !


Zairulshahfuddin Zainal Abidin,

Pengerusi,

Jawatankuasa Pembangunan Keluarga & Kebajikan,

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Bangi, Selangor

Ramadan 1427H






No comments: