Thursday, December 21, 2006

JIM menolong mangsa Banjir di Johor




Pertamanya, terima kasih di atas bantuan dan sumbangan ikhwah dan akhawat bagi membantu usaha-usaha membantu mangsa banjir semalam, Khamis 21 Disember 2006. AlhamduliLlah Pusat Pengumpulan Sumbangan Untuk Mangsa Banjir di Pejabat JIM telah dibuka 9:00 pagi ke 9:00 malam semalam dan banyak kerja telah dapat dilaksanakan oleh sukarelawan JIM di beberapa tempat di JB, terutamanya di dua kawasan tumpuan kita iaitu di sekitar Skudai dan di Kg Maju Jaya.
Di sebelah pagi kita telah menghantar bahan makanan mentah iaitu 35 ekor ayam, 20 papan telur dan sayur-sayuran ke Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Pu Tze di Batu 10, Skudai, bagi makan tengah hari mangsa yang masih mengungsi di sana. Kami dimaklumkan masih ada beratus-ratus lagi mungkin seribu, pengungsi yang masih di sana semalam kerana rumah mereka masih tenggelam lagi.
Kami mendapat tahu bahawa sebenarnya usaha penyediaan Pusat tersebut dipelopori oleh Persatuan Buddhist Tzu Chi, walaupun boleh dikatakan 90% pengungsi ialah umat Islam. Saya merasa cukup malu dengan keadaan tersebut, tetapi apakan daya. Di depan sanalah usaha mereka yang patut kita hormati dan contohi, dan jauh di belakang sinilah umat Islam. Selain daripada Bulan Sabit Merah dan Mercy yang membantu di sana bersama kita, saya tak tahu sama ada ada lagi NGO, terutamanya dari kalangan umat Islam yang bergerak.
Di situ kami dimaklumkan bahawa terdapat sebuah lagi pusat mangsa banjir berdekatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, berhampiran Balai Polis Skudai, lalu kami ke sana pula setelah selesai urusan di Pu Tze. Di tempat kedua ini terdapat dalam 200 orang pengungsi yang berasal dari Kg Sepakat yang berhampiran dengan Loji Air PUB Singapura. Kami berbual dengan beberapa orang mangsa dan menanyakan keperluan mereka. Di sini makan tidaklah masalah sangat tetapi mereka menyatakan mereka perlukan pakaian dan juga perkhidmatan perubatan kerana ada anak yang demam.
Kira-kira jam 11:30 pagi kami mengambil makanan panas tengah hari yang telah dipesan sebanyak 100 bungkus nasi dari kantin Unit Harta Bina di UTM. Asalnya kami bercadang untuk membawa kepada mereka yang menunggu berhampiran rumah yang ditenggelami air (daripada tinjauan hari sebelum itu) di Kg Sepakat di dekat PUB. Namun apabila kami sampai di sana air sudah surut dan orang kampung tidak lagi berkhemah di tepi jalan malah sudah masuk membersihkan rumah mereka. Apapun kami terus edarkan juga bungkusan nasi dan air minuman kepada mereka, kerana pastinya mereka tidak mempunyai kemudahan untuk memasak lagi, dan penduduk kampungpun memang gembira adanya bantuan sedikit itu. Di situ kami juga berjumpa dengan En Yazid yang bekerja di SMIH. Walau bagaimanapun kami hanya dapat mengedarkan kepada separuh kampung yang menjajar panjang itu sahaja kerana ramai yang telah pulang.
Setelah itu kami pulang ke Pejabat JIM. Ustaz Hairozi menjaga di sana di sebalah pagi, dan kemudian akh PM Hamidon, akh Sazali dan akh Zainal Abidin Sidi datang bagi sesi petang, di samping anak-anak remaja yang membantu. Beberapa ikhwah turut menghantar lagi pakaian dan barang makanan kering ke sana. Kami sembahyang, makan dan kemudian pada pukul 2:15 petang membuat mesyuarat penyelarasan. Beberapa ikhwah/akhawat juga ada pergi membeli belah barangan keperluan untuk diedarkan, seperti keperluan wanita, bayi, ubat-ubatan, berus dan ubat gigi dsb. Sementara itu kami terima juga laporan kerja-kerja ikhwah-akhawat di Kg Maju Jaya (ada diedarkan sebelum ini, yang seperti yang ditulis oleh Kak Hassenah).
Kerja seterusnya disambung selepas Asar, bermula dengan membawa pakaian dan keperluan peribadi lainnya ke Kg Sepakat dengan dua kenderaan, termasuk van akh PM Hamidon. Kali ini akh Zainal Abidin Sidi, yang menjadi person-in-charge usaha ini, juga turut serta. Tadinya semasa kami menghantar makanan ada ibu yang memberitahu beliau sangat memerlukan barangan untuk bayinya, jadi kami tuju ke rumahnya dahulu kali ini. Dia sendiri tiada petang itu kerana keluar untuk suatu urusan, lalu kami tinggalkan barangan yang diperlukan kepada anaknya. Kemudian kami edarkan pakaian kepada penduduk lain juga.
Dari Kg Sepakat kami pergi pula ke Pusat Penempatan Sementara di Sekoleh Kebangsaan Batu 10, Sekudai. Rupa-rupanya di sana Persatuan Tsu Chi sedang mengedarkan bungkusan makan dan keperluan lain kepada semua mangsa banjir. Memang cukup hebat... berkotak-kotak barang, di samping begitu ramai petugas siap dengan uniform mereka dan juga bendera mereka. Kami edarkan pakaian kepada penghuni pusat yang memang cukup berharapkannya, malah tidak mencukupi. Dr Murni juga ada melihat kanak-kanak yang demam dan memberikan ubat-ubatan. Kemudiannya Dr Hishamuddin Alham juga datang untuk bersama, dengan keluarganya, seperti biasa.
Kami sempat berbual dengan Ketua Tzu Chi di situ yang menanyakan kita dari kumpulan mana (apabila melihat Dr Hisham mengambil gambar mereka). Beliau memberitahu kami mengenai Persatuan mereka yang ditubuhkan oleh seorang biarawati (nun) di Taiwan. Menurutnya dana yang dikutip oleh mereka untuk kerja relief, 100% untuk tujuan itu dan tak dibenarkan oleh ketua mereka tersebut untuk digunakan oleh persatuan. Mereka sudah berbelas tahun di Malaysia, dan menurutnya di Turki, Presiden cawangannya di sana ialah seorang Cina Muslim. Selain dari mengagihkan bantuan makanan dan tikar dsb kepada mangsa, terdapat juga petugas mereka yang menemu-ramah mangsa (dan divideokan).
Melihat mereka, seperti yang saya sebutkan tadi, memang saya hormati mereka. Apatah lagi saya tahu kerja mereka di Aceh semasa tsunami dulu, antara yang terdahulu sampai dan terus buat kerja. Cuma di dalam hati saya, di manakah umat Islam? Di manakah "penggerak" dan "pejuang" umat Islam? Terutamanya yang selalu kita dengar terlalu banyak rhetorik dsb dan cukup senang menuding jari mencari salah orang lain? Juga, saya tanya, di manakah "kita"?
Kami pulang sejurus sebelum Maghrib.
Insya ALlah hari ini (Jumaat) usaha-usaha ini akan diterskan. Ikhwah dan akhawat yang hendak membantu silalah tampil bersama. Juga, Pejabat JIM akan dibuka lagi hari ini 9:00 pagi ke 9:00 malam untuk menerima apa jua sumbangan semua. Di samping itu juga, kami ucapkan ribuan terima kasih di atas semua sumbangan dari seluruh negara yang mencurah-curah datang, alhamduliLlah.
Wassalam.
Ainullotfi dan rakan-rakan lain yang menDERU. :-)

No comments: